Saturday, 6 August 2016

KAMPUNG KU - SELAYANG PANDANG



Siapa lagi yang dapat merindu dan membanggakan kampung halamannya selain dari dia yang pernah mendudukinya sendiri?  Seperti memuji memuja tempat di mana terkumpulnya segala nostalgia antara suka dan duka kehidupan. Ya Allah,  aku bersyukur di atas segala kurniaan-Mu, tempat kelahiranku yang indah dan mendamaikan. Walau kemanapun aku pergi dan di mana saja keberadaanku, jiwa yang kelam akan segera jernih kembali tenang bila terkenang kampung halaman.

Kampung halaman adalah bingkai kenangan dan harapan yang tidak pernah usang dan mati kerana berlalunya masa. Terlalu kuat ingatan ku mengimbau gambaran beranika warna  rangkaian perjalanan hidup. Betapa jauh sekalipun seseorang itu merantau, dan setinggi manapun dia terbang di sudut hati terpasak teguh bahawa dia pasti akan kembali ke tanah asal kelahirannya, bagai kata pepatah lama, ‘sejauh manapun bangau terbang , ke belakang kerbau juga akhirnya’.

Kampung Kelong adalah kawasan tercorot terletak dalam daerah Tumpat Kelantan, dekat dengan permukaan Laut Cina Selatan yang sentiasa terdedah kepada gelora banjir musim tengkujuh setiap hujung tahun. Disinilah kampung  tempat aku dilahirkan 61 tahun yang lalu.



Pada tahun 60an, Kampung Kelong mempunyai penduduk  sekitar 300 orang sahaja. Suasananya indah yang mendamaikan. Di kiri jalan laluan ke bandar Tumpat  terbentang sawah bendang dipagari pohon-pohon kelapa dan jenis kelapa laut  yang sentiasa bergoyang bagai melambai-lambai ditiup angin menjadikannya  terlalu segar dan nyaman dirasa. Burung-burung tempua galak bersuara riang keluar masuk ke sarang-sarangnya yang bergentayangan di dahan-dahan pohon kelapa laut sedari awal pagi sebuk membawa makanan untuk anak-anak. 





Rumah-rumah orang kampung bertiang tinggi tidak berpagar, manakala tingkap-tingkap dibiar terbuka dan pinta tidak berkunci supaya udara dan angin boleh masuk dengan bebas, beredar-edar di dalam dan di luar rumah. Di bawah rumah ada yang dilapangkan sebagai tempat teduhan basikal dan perahu kolek, dan ada yang dijadikan ruang untuk anak-anak kecil bermain ‘decok’ serta tempat letakan  ‘gere’ (tempat baringan diperbuat daripada buluh) untuk para suami berihat. Sesetengahnya dikepung menjadi reban ayam, itik dan angsa serta ‘gok’ (tempat tidor kambing) atau kandang lembu kerbau… aduhai bau najisnya tidak tertahan.  Di tepi rumah pula ada ‘paloh’, rumah kecil tempat simpanan padi yang diberkas sebelum dileraikan kulitnya menjadi beras.


Pengkalan-pengkalan sungai dipenuhi sampan kolek  kecil yang digunakan oleh penduduk untuk menangkap ikan, ketam dan udang keluar mudik untuk menjual hasilnya ke bandar Tumpat. Sungai sejuk mata memandang  dikelilingi pohon-pohon nipah. Sekeliling tepi pokok-pokok  nipah pula terpacak batang-batang ‘bito’ (perangkap ketam) dan ‘gogoh’ (perangkap udang) dipasang oleh penduduk kampung. Di tengah-tengah sungai pula dihadangkan pukat untuk memerangkap ikan. Tidak ketinggalan para isteri serta  anak-anak perempuan sedang mengail ikan kekek. Manakala lelaki dewasa bergerak ke hulu ke hilir menjala ikan dan udang.


Kiambang segar kehijauan berpaut rapat antara satu dengan lain mengharmonikan lagi suasana. Sekali sekala berpecah dua ditempuhi sampan yang keluar dari pengkalan ke kuala sungai dan bertaut kembali setelah sampan berlalu. Lumut-lumut pula membiak tebal tempat membiaknya udang baring (sejenis udang halus) untuk dijadikan belacan.  Di waktu pagi akan terlihat kaum lelaki bermundar mandir mengautnya dengan ‘penyodok berpukat’. Udang baring ini bukanlah besar sangat nilainya sekadar 20 sen secupak sahaja…tetapi cukup untuk membeli keperluan harian yang lain. 

Hasil tangkapan ikan, ketam dan udang sungai serta menanam padi semusim (setahun sekali) adalah sumber utama kehidupan penduduk kampung ku. Selepas musim menuai, para isteri ada yang menjadi peraih ikan menjual hasil tangkapan para suami di sekitar kedai-kedai pagi (pasar-pasar) sekitar pekan dan stesen keretapi bandar Tumpat . Selainnya melekat di rumah menganyam tikar mengkuang dan menjahit daun nipah untuk dijadikan atap rumah. Hasil dan kehidupannya boleh dikatakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.






Penduduknya  hidup saling membahu bagaikan aur dengan tebing, bersatu tenaga dalam semua hal. Apa jua pekerjaan yang ingin dilakukan mereka akan sama-sama  berganding bahu melaksanakan. Tidak pernah merungut dan tidak pernah ketinggalan untuk ikut serta. Masing-masing tahu akan peranannya tanpa perlu mengikut perintah.  Kalau tidak ikut serta mereka akan merasa bersalah dan terkilan. Umum sahaja di ‘balai sah’ (surau) atau setelah menerima undangan, di awal pagi mereka sudah sampai, siap dengan kelengkapannya. Kalau ada yang kurang akan ada yang sudi menambahkan tanpa meminta sebarang bayaran. Segala-galanya dilakukan demi semangat kampung dan persaudaraan.



Bila tiba musim menanam padi,mereka bergabung dan bermuafakat dalam segala hal. Bermula dengan menebas lalang, menyangkul tanah, menabur  benih, menyabut semaian dan bercedong dibuat secara bersama. Kalau hari ini menyudahkan bendang Pak Mail, esoknya mereka bergotong royong menyiapkan kerja  Pak Bakar pula…dan begitulah seterusnya kehidupan mereka saling bantu membantu antara satu sama lain sehingga sampai ke musim menuai. 


Begitu juga apabila ada  majlis perkawinan, mereka akan berkerjasama menyiapkan apa jua pekerjaaan dari mula majlis sampailah ke akhirnya. Semuanya dilakukan secara bersama. Orang lelaki dengan tugasnya menaikkan bangsal atau kemah tetamu, manakala wanita pula sebuk di dapur masak memasak.  Tidak pernah mengeluh kepenatan dan tidak meminta sebarang habuan sebagai balasan. Kebiasaannya tuan rumah sudah tahu apa yang perlu dia lakukan sebagai mengenang jasa orang kampung yang menjayakan majlisnya.






Pada majlis doa selamat dan kenduri kesyukuran atau tahlil, umum saja di tempat awam orang-orang  kampung  berduyun-duyun datang menjayakan majlis itu. Boleh dikatakan tiada apa aktiviti-aktiviti  kampung yang  tidak didatangi oleh penduduknya. Pasti mereka ada di majlis itu. Itulah semangat kampung ku yang begitu mendalam tersemai di sanubari setiap penduduk bagai sudah mengerti apa yang patut mereka lakukan apabila diberitahu.

Sementara menunggu musim menuai atau mengetam tiba, kaum lelaki menjadi ‘awak-awak berketuakan seorang ‘juragan’ menangkap ikan di sungai menggunakan pukat. Sebelah paginya mereka akan turun ke sungai untuk melabuh pukat, dan pada tengah malam mereka semua akan turun semula ke sungai untuk mengutip ikan-ikan yang melekat di pukat. Menjelang subuh kesemua hasil tangkapan sudah dibawa ke darat  untuk diambil para peraih ikan dan menjualnya di pasar-pasar berdekatan. Antara ikan-ikan masyhur berjaya ditangkap  seperti jenis kitan, haruan, toman, siakap, sembilang, lapan, telapiar dan lain-lain.


Pada musim mengerjakan sawah bendang, selepas sekolah  atau pada hari cuti, budak-budak lelaki akan turun ke bendang mencari ikan belaga jenis ikan semilai. Hasilnya ada yang dijual kepada towkay di bandar  dan selebihnya untuk dipelihara dan berlaga sesama sendiri. Lepas itu cari  lumut-lumut di sungai untuk dibubuh ke dalam botol ikan semilai tu. Kalau tiada ikan semilai, ikan kapi atau ‘karen’ ada di longkang atau parit sekitar kampung. Ikan kapi lebih cantik, terutamanya yang jantan. Bila sudah penat cari ikan belaga, dicari pula biji getah di ladang-ladang getah di Kampung Berangan dan Kampung Parit yang terkenal dengan jenis ‘katak puru’, juga untuk dilagakan sesama kawan sekampung, atau dijual kepada rakan-rakan di sekolah. 



Pada musim menuai, kaum lelaki  membuat wau yang berbagai jenis; ada wau tempayan, wau kekek, wau ikan, wau kucing dan yang paling masyhur ialah wau bulan dengan bunyi daun bisonya yang kuat menghiburkan tuan-tuannya. Manakala kaum isteri pula sebuk mengemas tangkai padi yang sudah diketam untuk disimpan di dalam ‘paloh’. Ini adalah musim yang amat menyeronokkan.  Kanak-kanak  riuh rendah bertempik sorak bergembira menerbangkan  wau  masing-masing yang berbagai jenis di tengah-tengah bendang yang panas terik dan berangin. 




Pada malam istimewa, juragan atau ketua kampung akan menganjurkan pesta dikir barat menjadikan suasana bertambah meriah bermula selepas isyak hingga menjelang subuh. Yusof Kelong adalah juara tersohor di Kelantan disamping Daud Bukit Abal, Salleh Jambu dan Arifin Ana, dengan tukang karutnya seperti Seman Wau Bulan, Husin Gelang Emas, Pak Kumat, dan Mat Yeh serta Sudin Thailand.  Persembahan MakYong, Menora, Puteri, Wayang Kulit, dan Bersilat Makan Pulut waktu kenduri kahwin adalah media hiburan tradisional yang digemari ramai.  Eh Chong  dengan Menoranya, disamping Awang Lah, Karim, Hamzah, Umar dan  Hassan Tok Dalang Wayang Kulit. 






 
Di kampung ku banyak benda yang percuma. Di belakang, di depan atau sebelah rumah macam-macam yang percuma; kelapa dan santan percuma, air kelapa muda percuma, pucuk ketereh atau janggus untuk dijadikan ulam makan dengan budu serta nasi percuma, dan bunga kantan juga percuma. Kekadang kalau kita kehendakkan sesuatu, minta saja dengan jiran, dibayar harga ditolaknya. Itulah antara nilai kejiranan di kampungku. Kepada yang rajin menyelusuri sungai, tidak payah ke pasar kerana di situ banyak pucuk-pucuk  paku, pucuk piar dan puncuk niding untuk dipetik dan masak sayur air.   Pucuk ubi dan serai berlambak di belakang rumah tiada apa yang perlu dibeli dan segala macam sayuran percuma ada di sekeliling kampung.

Main guli itu kewajipan untuk budak-budak lelaki, disamping main congkak untuk budak perempuan. Tidak payah beli papan congkak memadai korek lubang dalam tanah dan buah getah atau biji asam jawa, atau batu jalan raya sebagai buah congkak. Banyak lagi jenis-jenis permainan yang mengembirakan antaranya; main gasing, main buah janggus, lemparan kotak-kotak rokok; Materhorn, Signal, Spade, Horse Rider dan sebagainya.


Aduhai… hari ini, kampungku telah banyak berubah seiring perkembangan zaman dan berlalunya waktu. Udaranya  sudah tidak senyaman dahulu. Air sungai tempat aku dan kawan-kawan mencari ikan dan berenang sehabis sekolah mulai mengering, dan tidak sejernih dulu lagi. Rumah-rumah sudah perlu dikunci rapat, kalau tidak akan dimasuki penagih dadah. Malah ada yang tidak kenal lagi anak siapa walaupun duduk sekampung.  Jawatankuasa madarasah pun berpecah kerana fahaman politik yang berbeza.  Anak-anak muda pula ramai berhijrah dan menetap di bandar untuk berkerja di kilang. 


Ya… walaupun pemandangan alamnya sudah tidak seindah dulu, air sungainya tak sejernih dulu, udaranya tak sesejuk dulu, semangat gotong royongnya tak sekuat dulu, kampungku selalu aku rindu. Masih ada kedamaian dan ketenangan, masih ada orang-orangnya  seramah dulu, masih kelihatan kabut pagi, riuh bersuara burung-burung tempua, nyanyian katak yang dapat mengingatkan kembali akan kenangan indah masa silam.  Pulang ke desa kelahiranku, sesekali terasa ingin berlari tanpa alas kaki di atas batas atau di sepanjang permatang sawah. Tersenyum pada awan biru yang terhias dengan kepakan sayap merpati, nuri dan sejenisnya.

Hakikatnya, kembali ke kampung halaman suatu detik yang indah, mengimbau berbagai memori di kala bersama leluhurku yang sudah jauh meninggalkan dunia yang fana ini. Ya... rindunya aku pada Mak Som yang sentiasa membawa pulang berbagai jenis makanan untuk anak cucu, Pak Cik Dollah yang turun naik sampan ke sungai, Tok Wan Dollah dengan kerja tukang rumahnya, Pok Mat Kuba dengan suara nyaringnya merepek di tepi jalan, Pok Jik Tok Bageh sebagai penaik semangat orang-orang kampung yang sakit serta Pok Soh Buta sebagai tok mindoknya, dan ramai lagi yang termasuk dalam rangkaian keluarga terdekat,  semuanya sentiasa dekat dan terpahat di hatiku...


Terpahat dalam memori, rakan-rakan sepermainan, sama-sama berlari meniti permatang sawah, menangkap belalang kala musim menuai sudah berakhir, bermain bola di padang pasir Pak Su Mat, berkejaran berlumba upih yang ditarik oleh bapa saudaraku Pak Su Din, dan mengikuti Pak Cik Mat  menyusuri sungai menjala ikan atau menangguk udang. Teringat akan sepat dan puyu yang digoreng garing oleh Mak Cik Jah, di makan dengan nasi panas berasap... tapi kini, hanya tinggal kenangan .... sepat dan puyu sudah kian pupus, tidak seperti zaman kanak-kanakku dahulu...


Walaupun kehidupan di kota menjadi saksi perjalanan ranjau hidup ku, kampung halaman akan tetap ramah untuk menumpahkan segala kerinduan yang indah. Meskipun hanya sesekali dijengok, tetapi kampung halaman takkan merengek. Kampung halaman tetap menanti untuk aku kembali. Di sinilah kedamaian menanti,  di hati yang berbisik mesra pada hembusan angin,“ Ya Tuhan betapa indahnya dunia Mu.” 

Di sinilah kampung halaman tempat kelahiran ku, Kampung Kelong, Tumpat di permukaan Laut Cina Selatan meninggalkan seribu macam kenangan indah yang tersimpul mati di lubuk hati… 

Friday, 5 August 2016

TERBANG KE PUNCAK JAYA - PEMBUKA BICARA

Sebuah pesawat penerbangan WI 1955 baru saja berlepas untuk memulakan penerbangannya ke destinasi Puncak Jaya. Tiba-tiba…selepas beberapa minit terbang, menara kawalan mendapat panggilan kecemasan dari juruterbang untuk mendarat semula…… “May Day ! May Day ! May Day “

Pegawai bertugas menara kawalan mengizinkan pendaratan kecemasan dan bergegas-gegas membunyikan siren kecemasan serta membuat panggilan telefon kepada semua agensi penyelamat yang lain. Tiba-tiba sahaja suasana tenang di lapangan terbang bertukar menjadi kelam kabut, kepanikan. Bunyi siren kecemasan kuat kedengaran, disusuli ketibaan kereta-kereta peronda polis, kereta bomba, dan lori-lori tentera. Pengawal-pengawal keselamatan semua berjaga-jaga mengawal keadaan.

Orang ramai menjadi keliru bercampur cemas. Jurugambar-jurugambar serta wartawan-wartawan akhbar perdana, radio dan televisyen tempatan memetik gambar di sana sini sebuk membuat liputan. Pada ketika yang sama pesawat yang mengalami kecemasan itupun mendarat.

Apabila ditanya kenapa keadaan begitu kelam kabut, diberitahu terdapat sebutir bahan letupan dalam pesawat. Apabila diperiksa dengan rapi oleh pakar pemusnah bom, memang benar ada terdapat sebutir bahan letupan telah dipasang di dalam pesawat tersebut.

Penerbangan pesawat tersebut telah ditangguhkan selama beberapa jam. Penumpang-penumpang telah lewat menuju ke destinasi penting itu.

Pada keesokan harinya semua siaran radio dan televisyen telah menjadikan bahan letupan di pesawat penerbangan WI 1955 sebagai berita hangat. Semua akhbar perdana tempatan dan antarabangsa telah menjadikan bahan letupan di pesawat penerbangan WI 1955 sebagai tajuk berita utama.

Begitulah satu gambaran ringkas tentang berita terdapatnya satu bahan letupan di dalam pesawat terbang. Walaupun bahan letupan itu belum meletup lagi, berbagai bagai reaksi kecemasan telah dipamerkan oleh manusia. Kesemua penumpang cemas dan takut, begitu juga jurutera-jurutera, pengawal-pengawal keselamatan dan lain-lain agensi keselamatan turut cemas dan takut; pendek kata semua orang merasa cemas dan takut.

Semuanya akan cemas dan takut bila ada bahan letupan. Semua akan menjadi takut, dan bergerak bila ada bahan letupan. Bahan letupan itu telah menggerakkan aktiviti-aktiviti dan pergerakan manusia menjadi lebih pantas daripada biasa…

Sebetulnya, bukan tujuan saya untuk bercerita tentang bahan letupan didalam pesawat tadi. Melalui memoir  berbentuk motivasi ini, saya akan membuat coretan, menyentuh tentang bahan letupan atau ledakan yang terdapat di dalam diri setiap kita. Bahan ledakan yang lebih berkuasa. Bahan ledakan yang tidak boleh tidak, mesti diletupkan. Seandainya bahan ledakan kita tidak meletup, tandanya kita dalam bahaya, kerana bahan itu akan berkarat dan mati bersama kita.

Saya hanya ingin berkongsi falsafah matlamat hidup bagi meletupkan bahan ledakan yang terdapat di dalam diri, agar bangkit dari zon selesa, dan bertindak menjayakan visi dan misi diri, keluarga, agama, bangsa dan nusa…serta terus TERBANG KE PUNCAK JAYA.

Bahan ledakan diri yang saya maksudkan ialah sifat BERANI, KESUNGGUHAN, DAYA TAHAN, dan segala macam sifat lain yang menjadi PELURU HIDUP dalam diri yang tak pernah digunakan untuk membangun kecemerlangan diri dan keluarga. Kita tidak boleh selamanya menjadi gerabak, tapi perlu juga menjadi kepalanya. Orang yang berani akan menjadi penggerak kepada orang lain. Orang yang berani adalah orang benar-benar hidup dan berfungsi sebagai manusia hidup yang sebenarnya.

Manusia yang berani akan diihormati dan dipandang mulia. Manusia yang berani akan dikenali sebagai juara manusia, dan mampu mengatasi halangan hidup yang serba mencabar. Berani berfikir di luar kotak kebiasan, berani membuat  keputusan, berani mencuba sesuatu yang baru, berani untuk gagal, berani membuat perhitungan,  berani mengambil risiko…dan segala macam keberanian yang bakal menjadi perisai diri yang kebal bagi menghadapi segala macam cabaran mendatang. Manusia yang tidak ada keberanian adalah manusia yang mati sebelum mati.

Bacalah setiap lontaran hujahan dengan kefahaman dan penghayatan di jiwa, dan yang paling penting untuk dilaksanakannya dalam kehidupan. Segala keperitan hidup diatas runtuhan rumahtangga ibu ayah, membuat keputusan sendiri pada umur yang terlalu muda (13 tahun), menumpang kasih kepada orang lain bersilih ganti, dan kisah perjuangan hidup selama 61 tahun, akan saya paparkan mana-mana yang berkaitan secara telus dalam kembara hidup terbang ke puncak jaya.

Saya tujukan rasa jiwa saya ini teristimewa buat isteri saya Hajjah Zaila Abd Kadir yang telah banyak berkorban menjayakan visi dan misi bersama. Tidak ketinggalan sejambak rasa kasih sayang buat anak-anak;  Wan Syarinar, Wan Muhammad, Wan Anwar, Wan Fathiyyah, Wan Hazimah, Wan Hafizuddin Haidhar dan Wan Zaim Zharfan yang turut ikut mengharungi dan merasai berbagai suka duka, bahagia derita sepanjang  jalan. Pengorbanan mereka semua amat saya sanjungg tinggi  dan semoga tulisan ini dapat menjadi panduan mereka dan generasi saya dibelakang hari.

Sekalung budi saya tujukan buat Dato’ Hj Abdullah Mat Zaid, Mantan Naib Presiden Eksekutif ( EVP) Penerbangan Malaysia (MAS) - kerana sokongan, pandangan, dan pegangan falsafah hidup yang amat menyenangkan saya sebagai panduan. Juga untuk Tuan Hj Mat Sah Talip, Mantan Pengurus Perkhidmatan Dalam Penerbangan Malaysia - kerana banyak memberi jasa bakti terhadap pembangunan kerjaya saya dalam MAS.

Ingatan juga kepada ratusan teman-teman dan rakan-rakan lain  yang tak dapat saya catitkan kesemuanya – yang telah banyak membantu segala usaha saya dalam perjuangan membela bangsa Melayu dan memartabatkan ajaran Islam di kalangan sahabat sekerjaya khususnya  dan masyarakat amnya sepanjang karier saya dalam syarikat penerbangan negara MAS.

Untuk adik angkat saya Salawati Mohamed bagi pihak ayahnya, arwah Haji Mohamed Che Su sebagai abang angkat yang ikut serta memeriahkan warna kehidupan saya. Juga buat  keluarga angkat saya, terutamanya Hajjah Azizah @ Cik, dan Hajjah Faridah @ Dah serta Mohd Hatta – kerana sempat memberi kasih sayang walaupun hanya untuk seketika.

Lebih utama buat ibu dan ayah saya, Wan Mek Wan Ali dan Wan Ahmad Wan Dollah kerana tanpa mereka saya tidak akan wujud di alam maya ini. Jasa mereka tentunya tidak terbalas oleh saya walaupun dengan tongkolan emas sebesar Bukit Uhud, semoga mereka terbaris dikalangan orang-orang mutaqqin…Aameen Ya Rabbal Aalameen.

Selamat membaca, dan salam hormat dari saya;

WAN IBRAHIM WAN AHMAD.