Thursday, 11 August 2016

KEHIDUPAN DI MASA KECIL


Kenangan masa kecil merupakan pusaka yang tidak terganti. Pahit atau manis, suka mahupun duka, kedua-duanya merupakan pengajaran buat hidup. Suka duka dalam perjalanan hidup yang mengajar kita bagaimana untuk melangkah selanjutnya. Sejauh manapun kita menoleh ke belakang, yang ada hanyalah kenangan yang indah walaupun di kala itu sengsara jiwa. Masa lalu terlalu indah untuk dirosakkan dengan setitis kesalahan yang mungkin pernah kita lakukan. Keindahan masa kecil juga satu kebahagiaan yang mampu dirasa kenikmatannya hingga ke saat ini dan mungkin buat selama-lamanya.

 
Ibu tidakkan lekang  dikenang, dan ayah tidak terlupa untuk diingat setiap ketika di manapun keberadaan kita. Kita tumbuh membesar bersama mereka, lahirnya kita kerana adanya mereka, waktu-waktu terisi dengan curahan kasih mereka. Ibu mendidik dengan segala rasa sayangnya, bapa tidak pernah menolak apapun yang kita minta. . Berbahagialah jika kita memiliki masa kecil yang indah, dan kini saat untuk kita bersyukur diatas semua kesenangan yang dikecapi. 

Dalam permainan kita menemukan persahabatan serta kerjasama, dalam gurauan menjadikan kita saling mencintai dan menghargai. Banyak hal yang menemukan kita untuk menyatu serta persaingan; main bola, menerbangkan layang-layang, menangkap ikan dan terjun ke sungai adalah dunia lelaki sejati. Main boneka, masak-masakan, pasang baju-bajuan dan lompat tali pula adalah permainan bagi anak puteri.



 
Kenangan masa kecil tidak mampu diulang, dan pasti tidak akan berulang lagi, nostalgia yang tidak terhitung nilainya. Masa kecil adalah masa yang penuh canda, tawa, dan kesenangan yang  terkadang ingin dirujuk kembali ke masa itu. Terlalu banyak hikmah dari kehidupan terdahulu. Lihat saja kegembiraan anak-anak, dan imbau masa-masa dimana kita pernah berada seperti mereka. Sesungguhnya ia amat mendamaikan jiwa

Hal-hal yang tidak menyenangkan dari masa lalu harus dihapuskan bagi menerima segala keburukan masa kecil dengan hati yang damai  menghairahkan diri  agar terus beraksi menjadi insan aktif dan bukannya pasif.  Walaupun kenangan telah berlalu, tapi ceritanya masih tetap segar bertakhta di hati. Masa kecil adalah kenangan yang akan selalu menjadi bahan perenungan agar kehidupan lebih tenteram dan berbahagia.  


Di Kampung Kelong, Tumpat, Kelantan aku dilahirkan pada 15 Disember 1955. Ayahku Wan Ahmad bin Wan Dollah bekerja sebagai buruh  am syarikat bijih besi Jepun berpengkalan di Jubakar Tumpat dengan gaji RM 3.00 sehari tahun 1961. Ibu ku Wan Mek binti Wan Ali  suri rumah sepenuh masa. Mereka berkahwin dua pupu ketika ayahku berumur 18 tahun dan ibu 16 tahun yang disusun oleh orang tua masing-masing.  Aku anak sulong kepada 3 adik-adik; Wan Mustapha, Wan Aznah dan Wan Razali. Ayah kami panggil ‘Wan’ manakala ibu dipanggil ‘Mek’, dan Wan Hussin nama panggilanku di kampung. 



Sudah menjadi kebiasaan di kampung bila anak-anak berkahwin mereka akan tinggal bersama ibu ayah buat seketika sehingga rumah sendiri dapat dibangunkan, dan tradisi ini masih terpakai  hingga kini sama ada di kampung juga bandar. Ibu dan ayahku tinggal dengan nenek sebelah ibu, Mak Som bersama dua bapa saudaraku, Wan Mat dan Wan Din yang masih muda dalam lingkungan umur 15 dan 12 tahun.  




Nenek berkerja sebagai ‘peraih’ membawa hasil tangkapan di sungai seperti seperti  ikan,udang dan ketam ke pasar bandar Tumpat, Wakaf Bharu dan Pasir Mas. Suaminya Wan Ali, Tok Wan ku meninggal dunia sebelum aku dilahrkan. Neneklah penyara utama seisi rumah ketika anak-anak masih belum ada apa-apa pekerjaan. Setiap hari ketika malam masih gelap gelita sebelum berderainya kokokan ayam jantan dan azan subuh berkumandang dia sudah berada di jalan bercahayakan karak api daun kelapa kering di tangan sebagai penyuluh jalan menyusur ke bandar. Hampir maghrib baru pulang ke rumah membawa makanan buat kami. Begitulah gigihnya perjuangan hidup nenekku yang sudah tua walaupun berpenglihatan sebelah mata...hanya ingin mempastikan anak cucu tidak membulur kelaparan... Subhanallah !  





Pada umur 1 tahun, aku diserahkan kepada ibu saudaraku,  Mak Long Som dan suaminya Pak Long Umar untuk dipelihara di Kampung Kutan, Wakaf Bharu hidup serumah bersama Tok Wan Dollah dan Emak Yam, atuk dan nenek sebelah ayah. Membesarlah aku dalam belaian kasih sayang Mak Long dan Pak Long bagaikan anak sendiri dilingkungi rakan-rakan sebaya; Wan Hassan, Rojak, Salam, Stopa, Wan Rashid dan Ghopa. Kebun getah milik Eh Tan dan Pak Su Man sebelah rumah menjadi medan semua jenis permainan; bolasepak, guli, bola kaduk dan gasing berakhir dengan terjun ke parit tali air untuk mandi. Mereka juga rakan-rakan bersunat. Sehingga saat ini tergambar jelas bagaimana Wan Hassan bertempek melolong kesakitan … aduh sakitnya tidak terkira, almaklum tidak menggunakan sebarang ubat bius.




Sekali sekala aku dibawa oleh Mak Long Som ke rumah ibu ayah suaminya Pak Long Umar di Kampung Pauh Lima, terpaksa merentas sawah bendang berjalan kaki batu dari kampung Kutan sebelum sampai ke jalan besar untuk menaiki bas. Bila lelah, aku di dokong Pak Long Umar,  bersilih ganti berjalan sendiri hingga sampai ke destinasi. Sayangnya Pak Long pada ku tidak terhingga, dibawanya aku ke mana-mana, membajak sawah di tepi rumah kekadang bertenggek di belakang kerbau. Musim durian, aku dan Pak Long tidor di bangsal buluh dalam kebun menunggu durian gugur. Tidor dikelilingi pacat yang sedia menunggu untuk menghisap darah mangsanya. “ Doop, doop “…kami terjaga dari tidor disedar oleh dentuman guguran buah-buah durian untuk dipungut. 





Buah manggis, langsat, rambutan dan rambai tidak habis dimakan. Bila keinginan panjat sendiri di pokok sebelah rumah. Hari cuti hujung minggu aku akan bantu nenek mengutip susu  getah yang ditoreh sekitar rumah seluas  satu ekar. Bila rajin bantu Mak Long memutar mesin susu getah yang dibeku menjadi getah keping untuk dijemur sebelum dijual pada Pak Cik Soh Mak Cik Wo. Begitulah rutin harian kehidupanku di kampung Kutan selama 5 tahun. Aku dipelihara dengan kasih sayang oleh Pak Long Umar terutamanya.  Hampir umur tujuh tahun aku dipulangkan ke pangkuan ibu ayah di Kampung Kelong untuk dihantar ke sekolah,  kerana itulah perjanjiannya. Tempatku pula diganti oleh adikku Wan Mustapha.




Di kampung Kelong, ibu ayah sudah bersedia untuk berpindah ke rumahnya yang baru siap dibina oleh Tok Wan Dollah di Kampung Dalam Rhu, kira-kira 3 km jaraknya. Ayah merancang untuk hantar aku ke sekolah Inggeris, menjadikan aku satu-satunya anak kampung yang tidak bersekolah aliran Melayu. Masih segar dalam ingatan kata-kata ayah ketika aku dimandikannya di rumah ibu saudaraku, Mak Yah, “ Sin… Wan nok hantar Sin ko sekolah ore puteh. Wan nok Sin jadi panda, dapat kijo molek, hidup sene bila besar nati…”  


Gembira pilu juga rasa hati bila teringat kata-kata perangsang ayah. Walaupun tidak berpendidikan tinggi dan kerja hanya sebagai buruh, tetapi mempunyai kesedaran yang tinggi untuk melihat aku berjaya bila dewasa. Kata-katanya  sentiasa mengiang-ngiang di telingaku sehingga hari ini.  Pada tahun 1962, aku dimasukkan ke Government English School (GES), Kampung Dalam Rhu mengikut jejak sepupuku Rahim @ Ramli Harun, tetapi dia dua tahun lebih tua dari aku.  

Seperti ibu-ibu lain, sebulan ibu terpaksa tunggu aku di luar pagar sekolah sedari pagi hingga tiba waktu tamat sekolah…bimbang  aku menagis katanya.  Ketika aku sudah mampu berjalan kaki sendiri ke sekolah, setiap hari aku dibekalkan ibu sebungkus nasi puteh kosong berlaukkan ikan kembong goreng untuk dimakan masa rehat pada jam 10 pagi. Lebih istimewa kalau ibu membekalkan ketupat sotong. Aku masih ingat rakan-rakan sedarjahku seperti   Zulkifli Nordin, Nik Nor Asiah, Wan Kamariah,  Azli Yusof, Mohd Shorgia,  Dan Yew Chee dan Koh Yen See, Gurcharan Kaur, Fauzi Harun, Ram Singh dan Tarama Raju.


Dalam kelas bila guru tidak ada, aku bergendang  meja. Tiada meja aku akan cari apa jua jenis kotak kertas untuk digendangkan. Dari situlah bakatku berkembang  sehingga pandai memalu  gendang permainan wayang kulit. Aku juga boleh menjadi Tok Dalangnya dan juga sebagai Tok Joro Dikir Barat anak-anak kampung.  Melukis juga menjadi salah satu cabang minat ku. Masa darjah 5, setiap minggu aku diminta Cik Gu Gobala melukis pemadangan yang indah untuk dipasang di dinding rumah sewanya di bandar Tumpat. Model-model kesukaan ku untuk dilukis termasuk karektor-karektor utama wayang kulit seperti Seri Rama, Laksamana, Lat Juna, Hanuman Kera Puteh, Hanuman Ikan,  Sita Dewi dan lain-lain karektor. Gambar  Sean Connery, Lee Marvin, Yul Bryner dan A. Ramlie juga menjadi pilihanku. Bapa saudaraku Pak Su Sohlah yang sentiasa mengajar aku untuk melukis.




Selain belajar di sekolah, aku juga dihantar belajar mengaji Quran dengan Hj Pok Nik Loh yang terkenal 'bekeng' (garang) di Kampung Dalam Rhu rumahnya berdekatan pantai. Isterinya, Mok Nik Haji pula tersangat baik. Bila ada mana-mana murid yang dirotan suaminya kerana malas mengaji, dialah pembela. Semasa aku di hantar ke rumah Pok Nik Loh, sambil menghulurkan sesikat pisang sebagai buah tangan, ibu berkata, “ Pok Nik , ambo nok ata anok ambo Wan Hussin ni untuk ngaji Quran. Kalu dia khenat, rotan dio, asal jange patoh sudoh.” Aduh… besar sungguh lesen diberi ibuku pada Pok Nik Loh.  Namun lesen merotan inilah menjadikan aku hari ini, suka membaca Al Quran setiap hari.


Segala macam kenangan yang mengibur jiwa terjelma di mata mengingat peristiwa ibu belajar dalam sekolah dewasa bermeja kerusi di dalam bangsal kesemuanya diperbuat dari buluh beratapkan daun nipah yang dijahit. Pak Mahmood Tukang Stesen sebelah rumah yangvmengurusnya , dan dia juga sebagai guru dan guru besarnya. Terhibur melihat telatah ibu, sepupu ku serta wanita-wanita lain yang buta huruf belajar mengeja, menulis dan membaca dengan berbagai aksi. Tersangat lucu ketika mereka disuruh membaca dan menceritakan semula kisah itik dan kura-kura, kecerdikan kancil memperdayakan anjing serta  arnab dan kura-kura yang penuh pengajaran tersirat sehingga hari ini. Semuanya segar dalam ingatanku.  Terbayang  watak serta gelagat Ramlee, Aziz dan Sudin bersekolah dewasa bergurukan Cik Gu Ros dalam filem Pendekar Bujang Lapuk yang menjadikan kita tidak kering gusi tertawa.  


Piliharaya Umum (PRU) ke 2 tahun 1964, aku dalam darjah 3 menjadi salah satu detik kenangan yang menggamit memori. Kami anak-anak riuh menjerit bertepuk sorak kegembiraan melihat helikopter terbang rendah berlegar-legar di kawasan kampung menabur poster-poster lambang kapal layar UMNO Perikatan. Ustaz Wan Wan Hassan Wan Daud , calun parti PAS bertanding melawan calun UMNO Perikatan diwakili Che Lat untuk merebut kawasan Parlimen Tumpat . Tunku Abdul Rahman berjalan kaki dari bandar  Tumpat ke kampung ku untuk berkempen dengan penuh mesra melambai-lambai tangan ke arah kami. Kemuncaknya pada sebelah malam, aku sanggup menunggu hingga  ke akhir  mendengar ceramah Dato Asri Muda Presiden Pas, yang juga Menteri Besar Kelantan di Padang  Perdana  bandar Tumpat.  Hebat ceramahnya tetapi kehebatan Che Lat di sisi masyarakat Tumpat tidak dapat ditandingi oleh sesiapapun ketika itu, dan UMNO Perikatan menang bergaya.




Pesta Wayang Pacak  di padang Keretapi Tumpat juga meninggalkan kenangan yang sangat indah. Semua orang kampung dijemput hadir untuk mendengar hebahan terbaru mengenai dasar-dasar kerajaan dikendalikan oleh jabatan penerangan daerah. Pasa masa yang lain syarikat minum seperti milo dan ovaltine juga menayangkan wayang gambar percuma sebelum memperkenalkan produk meniman terbarunya. Bukan main seronoknya anak-anak diberikan minuman sejuk percuma dengan jenama masing-masing. Riuh rendah anak-anak yang lebih kecil dariku meminta ibu ayah mereka untuk memiliki belon terbang dan lain-lain baranganyang menjadi tarikan minat mereka.





Ibu ayahku  berpisah  ketika umurku lapan tahun. Ayah seorang yang panas baran, dan kalau dipukulnya aku  dikeranakan sesuatu kesalahan sehingga hancur manggal atau mayang kering kelapa ditangannya. Namun disebalik kegarangannya, dia seorang yang lembut hati dan cepat tersedar dari kesilapan. Lebih dari itu dia seorang yang sangat adil pada anak-anak dalam mengagih harta peninggalan terutamanya. Jauh akalnya merencana perancangan hidup anak-anak mengikut cara pemikiran orang kampung. Ibu seorang yang pandai berkawan dan tidak suka membuat hal dan tidak pandai menyusahkan orang lain, termasuk kami anak-anaknya. Tetapi bila diganggu dengan hal yang mengaibkan maruah dirinya tanpa mengira siapa didepannya, lelaki atau perempuan dia akan bertindak melawan.  Terserlah sifat-sifat ayah dan ibu mengalir dalam diriku. Apapun puncanya sehingga mereka terpaksa memilih jalan sendiri, hanya mereka yang lebih arif apakah ia suatu keputusan yang betul ataupun sebaliknya. Sebagai anak yang masih kecil aku masih tidak mengerti  tentang susah senang buruk baik diatas keputusan mereka.



Susulan dari itu, kami adik beradik terpisah; Wan Mustapha dipelihara oleh Mak Long dan Paklong, Wan Aznah dalam jagaan Mak Yam, nenek  sebelah ayah. Manakala Wan Razali bersama ibu. Kehidupan ku bersilih-ganti tempat sandaran. Ada waktu bersama nenek sebelah ayah di Kampung Kutan, ada ketika bersama nenek sebelah ibu di Kampung Kelong. Bila puas berpindah pula ke rumah Pak Cik Mat, bapa saudara di Kampung Kelong, selepas itu beralih pula ke rumah ibu saudara Mak Yah di Kampung Dalam Rhu.  

Ada masa bersama ibu yang berkahwin semula dengan pekerja Majlis Perbandaran Tumpat (MPT) bernama Harun. Tidak pernah menetap setempat. Secara berkala ayah yang masih membujang akan mengajak aku tidor bersamanya di rumah Wak Ali sepupu ibuku di Kampung Jubakar. Pada masa yang lain tidor di rumah kawan sekerjanya Wan Ali di Kampung Dalam Nyor dan di lain hari bertukar ke rumah Mak Teh, ibu saudara ayahku di Kampung Dalam Rhu. Sebagai kanak-kanak  aku tetap bergembira dan menerima keadaan hidup seadanya, susah senang sama saja. 


Sewaktu bersama Pak Cik Mat di Kampung Kelong aku diajaknya menjala ikan di sungai. Pada musim menanam padi, aku akan mengikutnya bersama Pak Su Din menajak tanah dan bercedung di pulau berdekatan. Bila sendirian, berjalan-jalan di kawasan sawah bendang dan parit  sekitar kampung hingga ke perkampungan kaum Siam Terbak , dan menyusuri celah-celah pohon nipah di sungai mencari ikan belaga ‘karen’ dan ‘semila’. Setelah puas mencari ikan belaga, beralih pula mencari biji getah berjalan kaki sejauh 3 kilometer ke Kampung Sedar, Kampung Berangan sampai ke Kampung Parit untuk dijual sebagai duit saku ke sekolah. Kalau dapat 20 sen sangat lumayan berbaloi berjalan jauh. Dalam perjalanan pulang singgah di rumah rakan sekolah, Koh Chu Eyam untuk panjat buah cupunya yang menjadi kesukaanku.







Sungai dan parit menyimpan seribu  kenangan masa kecil ku. Berbagai cerita indah dan lucu yang terjadi di sungai bersama teman-teman sebaya . Mandi sambil main perang-perangan menggunakan lumpur sebagai senjata. Badan  penuh berlumpuran di badan dan kalau terkena boleh tahan juga sakitnya. Setelah puas main perang-perangan terus mandi membersihkan diri kemudian langsung mencari pucuk paku atau pucuk pia yang tumbuh dipinggir dan sekitar sungai. Ada kawan-kawan lain yang lebih berani akan menggali ubi keledek dan dikejar pemilik kebun berlari lintang pukang samapi lompat pagar berduri dan terjun semula kesungai. Lebih melucukan ada yang masih tertinggal sembunyi di kebun, tapi dapat ditangkap oleh tuan kebun dan diberi amaran lisan yang keras... kesannya tidak akan berani mencuri lagi.


Ketika berada di rumah nenek sebelah ayah di Kampung Kutan pula, aku akan mencari siput padi di bendang  untuk  dimasak gulai lemak makan dengan nasi bersama Tok Wan Dollah. Pada hari yang lain, bersama rakan sebaya Wan Hassan, terjun ke dalam tali air berdekatan untuk mandi sambil mencari kupang puteh atau ‘tibeng’. Hasil kutipan yang banyak membuat nenek aku gembira. Sebahagiannya dimasak menjadi lauk nasi makan bersama keluarga, dan selebihnya akan dijual… gembiranya dapat duit poket untuk membeli biji guli dan lain lain. Bila masa terluang singgah di rumah ibu saudarku Mak Su Yah di tepi jalan raya menuju Pasir Mas untuk makan nasi. Pak Su Mat, suaminya adalah insan yang terbaik yang pernah aku gauli disamping anak-anaknya Zul, Azmi dan Rohana yang sentiasa menceriakan hati ku. Mereka bagikan adik-adik beradik kandungku.

Tiba musim menuai aku akan pulang ke Kampung Kelong memeriahkan suasana bermain ‘ wau ’ atau layang-layang. Segar dalam ingatan ketika rakan-rakan kecil memegang layang-layang di hujung sana, aku akan menarik tali layang-layang di hujung sini sambil menjerit, “Hooppp!”. Hati menjadi sakit bila layang-layang itu tidak mahu naik mengelongsor di tanah atau senget ke tepi menerjah pokok. Setelah dua tiga percubaan, barulah ia berjaya naik ke awan menjadikan kami riang menjerit kegembiraan sambil berlari-lari menarik tali layang-layang agar ia dapat terbang lebih tinggi. 



Saat yang tak dapat aku lupakan ketika bermain lumba berkenderaankan ‘ upih pinang ’ yang ditarik oleh bapa saudaraku Pak Su Din dan kawannya Pak Soh.  Aku diheret Pak Su Din, kawanku Mamat pula diherat Pak Soh. Budak-budak lain bertepuk sorak melihat gelagat Pak Su Din dan Pak Soh berlumba sekeliling rumah sampai ke batas jalan lalu lalang orang kampung saling berkejaran. Aduh, sakit juga punggung kerana larian bapa saudaraku terlalu laju dengan tidak mempedulikan apa yang merentangi di tengan jalan, batu dan tahi lembu semunya disondol. Selesai perlumbaan kami semua duduk tersandar di pohon kelapa berehat kelelahan sambil minum air kelapa muda. Walaupun punggung sakit dan kepenatan permainan ini amat menyeronokkan kami kanak-kanak yang masih kecil.


Sekitar tahun 1966, musim cuti sekolah akhir tahun yang panjang, aku dibawa oleh bapa sepupuku ke rumahnya di Narathiwat Thailand menaiki keretapi di pekan Golok. Seronok juga ketika di sana setiap hari  menonton orang lelaki berlatih muay thai boxing  ditepi atau di belakang rumah. Filem Hindi menjadi kegemaran ramai penduduknya. Kesemua dialog dalam filem dialih bahasakan kepada bahasa Thai, melainkan pada babak nyanyian. Dua tajuk filem untuk satu bayaran. Penonton akan berehat dan dibenarkan keluar panggung wayang untuk minum dan hisap rokok selama 1 jam. Sempat juga aku menonton Filem Teesri Manzil lakonan Shammi Kapoor,  Asha Parekh dan Filem Do Badan lakonan Manoj Kumar Asha Parekh.



Hari kelahiran Sultan Kelantan yang dikenali sebagai  ‘puja umur’ sangat meriah. Selama 3 hari 3 malam dipenuhi acara-acara  berdikir barat, permainan mak yong, puteri, menora, dan wayang kulit di perkarangan Sekolah Kebangsaan Dalam Rhu. Seluruh bandar Tumpat dihias dengan indah. 






Tahun 1966 Malaysia digegarkan penyanyi era baru ‘pop yeh yeh’ bersama kumpulan gitar rancak (kugiran) rentetan kegilaan anak-anak dengan The Beatle dari Liverpool. Di corong-corong radio setiap hari dan waktu lagu-lagu  Jefrydeen The Siglap 5, A. Ramlie The Rythmn Boys, Eddie Ahmad The Antartics dikumandangkan. Menyusul A. Romzie  The Hooks, Salim I dan J Kamisah The Wisma, A. Rahman Onn The Strangers, A. Halim The Fiction, Halim Yatim The Sangam Boys, Hussein Ismail The Sand Blues, A. Rahman Hassan dan Azizah Mohamed Kumpulan Nirwana, L. Ramlee Teruna Ria, Ahmad Jais The Quest  dan lain-lain. Lagu-lagu Siti Haida, Termenong, Oh Fatimah, Salam Muhibah , Dendang Remaja, Si Cincin Emas, Kisah dan Tauladan , Janda Ku, Ratapan Anak Yatim, Tahu Kah Sayang,  Semoga Berjaya, Syorga Idaman, Dara Pujaan dan Gelisah antara lagu-lagu top menjadi siulan anak-anak muda di mana-mana saja. Apa lagi, fesyen rambut Jefrydeen dan A. Ramli bercermin besar mata gelap, berseluar ketat dan berkasut tumit tinggi menjadi ikutan anak-anak muda kampung.



Mengikut cerita nenek ku, banjir tahun 1967 adalah yang terbesar selepas bah air merah yang melanda Kelantan pada tahun 1925. Seluruh kampung dan bandar Tumpat ditengelami air hujan yang turun tanpa henti selama tujuh hari tujuh malam, ditambah dengan limpahan air sungai dari laut. Pulau-pulau kecil berhampiran semuanya tenggelam. Rumah-rumah yang berada di tepi pantai berkecai hanyut, malah ada  yang mati lemas dibawa arus yang deras. Saudara mara semua berkumpul dan menumpang di rumah ibuku di Kampung Dalam Rhu. Seminggu kami berkurung di dalam rumah, bergelimpangan tidor di mana-mana ruang yang kosong. Setiap hari perut hanya di alas dengan ubi kayu dan kelapa parut bergula yang dibawa dari kampung…satu kenangan yang tragis. 



Pada tahun 1968, kami murid-murid darjah 6 dari GES dipindahkan ke Sekolah Menengah Tumpat (SMT) di Kelaboran dalam tingkatan 1 satu kelas bersama  Koh Chu Eyam, Wee Chee Pheng, Lilian Chin.  Hussin, Noraini Musa, , Cik Aini Daud, Noraini Masud, Hussin dan lain-lain. Azlan. Rosalind sangat popular dikalangan guru kerana kecergasannya bersukan terutama Tae Kwan Do. Kalau tiada kerja lain pada hujung minggu aku bercanda di kedainya di Jalan Besar bandar Tumpat. Wan Ariffin adalah antara kawan-kawan sekolah yang amat aku senangi. Che Aini  cantik macam anak gadis Hindustan Kampung Dalam Rhu. Sangat layak untuk menjadi seorang Pramugari. Mr Maurice Al Cantra, Peter Ong, Hamid Bond, Mahmood dan Ramlah Sulaiman antara guru-guru yang masih berada dalam ingatanku. Begitulah sepintas lalu yang dapat aku imbaukan ketika di sekolah rendah dan menengah rendah.




Ketika berada di tingkatan satu, setiap hujung minggu aku berbasikal ke rumah ibuku di Kampung China Kota Bharu, dan ke rumah bapaku di Kampung Kutan, Wakaf Bharu secara bergilir. Bermula jam 8.30 pagi dari Kampung Dalam Rhu, aku mengayuh basikal sejauh 22 kilometer melalui Jalan Cabang Empat Tok Mek Ngah. Aduhai, penat  tak terkira. Dalam perjalanan terpaksa berhenti rehat  dan tidor di tengah jalan tepi sawah bendang sambil di hiburkan  lagu Dendang Anak Tani nyanyian A. Ramlie yang keluar dari radio rumah berdekatan sebelum sampai ke destinasi pada kira-kira jam 4.00 petang. Kekadang melalui Jalan Cenderong Batu,  yang  dihampar  batu kerikil menjadikan aku lebih kepenatan, dan singgah untuk tidor di rumah Mat Ali, kawan dalam Tingkatan 5.


Begitulah secebis kisah kehidupan sewaktu kecil aku dengan serba kekurangan sebelum berpindah ke Kota Bharu. Tidak pernah merasai dan tahu apa itu kasih sayang.  Tetapi sebagai anak kecil yang tidak mengerti apa-apa tentang kehidupan, aku tetap riang walau apapun keadaannya. Ketika dalam darjah 4 hingga 6 ke sekolahpun berjalan kaki, 6 kilometer pergi balik. Kekadang berkaki ayam pula, aduhai… keletihan dan kepanasan tidak tertanggung lagi. Ada ketikanya ponteng sekolah apabila diperdayakan oleh rakan yang lebih tua untuk bermain layang-layang. Beg sekolah aku mereka tolong sorokkan di dalam semak tepi jalan laluan ke sekolah.


Masa kecil masa yang tersangat indah untuk dikenang oleh setiap kita. Apa jua peristiwa dimasa kecil; pahit mahu manis, duka mahupun duka, tentu sangat membahagiakan walaupun ketika itu kita dalam derita. Masa kecil kita adalah pengalaman berharga bagaimana kita menikmati kehidupan. Saat kecil kita belajar banyak perkara, yang menjadikan kita sekuat hari ini. Masa tersebut telah berlalu, tapi kita tetap belajar banyak hal ambil iktibar dari masa tersebut sebagai petunjuk jalan langkahan selanjutnya.

  
Jika masa kecil kehidupanya terlalu pahit, jadikanlah ia sebagai alasan untuk memaniskan masa depan. Jika masa kecil itu tersangat manis, maka jadikan ia satu sebab untuk menikmati rasa kemanisan itu untuk selama-lamanya. Masa kecil juga menjadi detik yang indah kerana kita terus fokus dalam mencari hal yang menyenangkan. Keceriaan yang dirasakan anak kecil, seharusnya mengajarkan kita untuk tetap ceria menghadapi segala hadangan sepanjang jalan hidup.


Tidak mudah untuk tumbuh menjadi manusia dewasa, tapi kita mesti percaya dan yakin bahawa semua kita mampu melakukannya. Juga tidak mudah untuk mewujudkan impian kita yang lebih tinggi, namun begitu ramai orang yang berjaya merealisasikannya. Ketika kecil kita ada bertanya-tanya, “Akan menjadi apakah aku saat dewasa nanti…?”. Tetapi sekarang kita mampu memberikan jawaban yang membahagiakan kepada kawan-kawan bahawa, “aku telah berjaya menggapai segala impian”.

 
Jutaan cerita tercipta dalam kenangan sejak kita kecil, cerita membahagiakan, cerita menyakitkan, cerita memalukan, cerita menginspirasikan, cerita yang meluluhkan jiwa raga dan sebagainya. Dari cerita-cerita tersebut kita belajar, sehingga kita mampu menulis skrip lain di kemudian hari. 

Terimahlah keburukan masa kecil dengan hati yang damai. Syukurilah keindahan kenangan masa kecil dengan hati yang bahagia, kerana masa kecil telah mengukir keperibadiankita hari ini, dan hari ini pula akan mengukir keperibadian kita dimasa depan. Semoga aku selalu mampu memberikan kenangan yang indah-indah buat anak anak... dan peneguh semangat buat diriku sendiri...Aameen Ya Rabbal Aaalameen.



Setelah 48 tahun berlalu, pada 6 Ogos 2016, aku telah berjaya mengumpul 12 rakan-rakan sedarjah semasa bersekolah rendah Goverment English School Tumpat (GES) Kampung Dalam Rhu dan Sekolah Menengah Tumpat (SMT) Kelaburan Tumpat Kelantan untuk bersarapan di Restoran Leha Kelfood, Taman Melati Utama, Kuala Lumpur. Mereka-mereka itu adalah, Nik Zainal, Wan Din, Dato Mat Ghani, Wee Chee Pheng, Ramli, Hasmah, Azid, Chin, Kamil, Koh Chu Eyam, Che Aini Daud dan Tarama Raju. 



1 comment:

  1. Colourful Experiences of your Life Stories...keep it up. Thank you for sharing.

    ReplyDelete