Pegawai bertugas menara kawalan
mengizinkan pendaratan kecemasan dan bergegas-gegas membunyikan siren kecemasan
serta membuat panggilan telefon kepada semua agensi penyelamat yang lain.
Tiba-tiba sahaja suasana tenang di lapangan terbang bertukar menjadi kelam
kabut, kepanikan. Bunyi siren kecemasan kuat kedengaran, disusuli ketibaan
kereta-kereta peronda polis, kereta bomba, dan lori-lori tentera.
Pengawal-pengawal keselamatan semua berjaga-jaga mengawal keadaan.
Orang ramai menjadi keliru
bercampur cemas. Jurugambar-jurugambar serta wartawan-wartawan akhbar perdana,
radio dan televisyen tempatan memetik gambar di sana sini sebuk membuat
liputan. Pada ketika yang sama pesawat yang mengalami kecemasan itupun
mendarat.
Apabila ditanya kenapa keadaan
begitu kelam kabut, diberitahu terdapat sebutir bahan letupan dalam pesawat.
Apabila diperiksa dengan rapi oleh pakar pemusnah bom, memang benar ada
terdapat sebutir bahan letupan telah dipasang di dalam pesawat tersebut.
Penerbangan pesawat tersebut
telah ditangguhkan selama beberapa jam. Penumpang-penumpang telah lewat menuju
ke destinasi penting itu.
Pada keesokan harinya semua
siaran radio dan televisyen telah menjadikan bahan letupan di pesawat
penerbangan WI 1955 sebagai berita hangat. Semua akhbar perdana tempatan dan
antarabangsa telah menjadikan bahan letupan di pesawat penerbangan WI 1955
sebagai tajuk berita utama.
Begitulah satu gambaran ringkas
tentang berita terdapatnya satu bahan letupan di dalam pesawat terbang.
Walaupun bahan letupan itu belum meletup lagi, berbagai bagai reaksi kecemasan
telah dipamerkan oleh manusia. Kesemua penumpang cemas dan takut, begitu juga jurutera-jurutera,
pengawal-pengawal keselamatan dan lain-lain agensi keselamatan turut cemas dan
takut; pendek kata semua orang merasa cemas dan takut.
Semuanya akan cemas dan takut
bila ada bahan letupan. Semua akan menjadi takut, dan bergerak bila ada bahan
letupan. Bahan letupan itu telah menggerakkan aktiviti-aktiviti dan pergerakan
manusia menjadi lebih pantas daripada biasa…
Sebetulnya, bukan tujuan saya
untuk bercerita tentang bahan letupan didalam pesawat tadi. Melalui memoir berbentuk motivasi ini, saya akan membuat
coretan, menyentuh tentang bahan letupan atau ledakan yang terdapat di dalam
diri setiap kita. Bahan ledakan yang lebih berkuasa. Bahan ledakan yang tidak
boleh tidak, mesti diletupkan. Seandainya bahan ledakan kita tidak meletup,
tandanya kita dalam bahaya, kerana bahan itu akan berkarat dan mati bersama
kita.
Saya hanya ingin berkongsi
falsafah matlamat hidup bagi meletupkan bahan ledakan yang terdapat di dalam
diri, agar bangkit dari zon selesa, dan bertindak menjayakan visi dan misi
diri, keluarga, agama, bangsa dan nusa…serta terus TERBANG KE PUNCAK
JAYA.
Bahan
ledakan diri yang saya maksudkan ialah sifat BERANI, KESUNGGUHAN, DAYA TAHAN, dan
segala macam sifat lain yang menjadi PELURU HIDUP dalam diri yang tak pernah
digunakan untuk membangun kecemerlangan diri dan keluarga. Kita tidak boleh selamanya
menjadi gerabak, tapi perlu juga menjadi kepalanya. Orang yang berani akan menjadi
penggerak kepada orang lain. Orang yang berani adalah orang benar-benar hidup
dan berfungsi sebagai manusia hidup yang sebenarnya.
Manusia
yang berani akan diihormati dan dipandang mulia. Manusia yang berani akan
dikenali sebagai juara manusia, dan mampu mengatasi halangan hidup yang serba
mencabar. Berani berfikir di luar kotak kebiasan, berani membuat
keputusan, berani mencuba sesuatu yang baru, berani untuk gagal, berani membuat
perhitungan, berani mengambil risiko…dan segala macam keberanian yang
bakal menjadi perisai diri yang kebal bagi menghadapi segala macam cabaran
mendatang. Manusia yang tidak ada keberanian adalah manusia yang mati sebelum mati.
Bacalah
setiap lontaran hujahan dengan kefahaman dan penghayatan di jiwa, dan yang
paling penting untuk dilaksanakannya dalam kehidupan. Segala
keperitan hidup diatas runtuhan rumahtangga ibu ayah, membuat keputusan sendiri
pada umur yang terlalu muda (13 tahun), menumpang kasih kepada orang lain
bersilih ganti, dan kisah perjuangan hidup selama 61 tahun, akan saya paparkan mana-mana
yang berkaitan secara telus dalam kembara hidup terbang ke puncak jaya.
Saya tujukan rasa jiwa saya ini
teristimewa buat isteri saya Hajjah Zaila Abd Kadir yang telah banyak berkorban
menjayakan visi dan misi bersama. Tidak ketinggalan sejambak rasa kasih sayang
buat anak-anak; Wan Syarinar, Wan
Muhammad, Wan Anwar, Wan Fathiyyah, Wan Hazimah, Wan Hafizuddin Haidhar dan Wan
Zaim Zharfan yang turut ikut mengharungi dan merasai berbagai suka duka,
bahagia derita sepanjang jalan.
Pengorbanan mereka semua amat saya sanjungg tinggi dan semoga tulisan ini dapat menjadi panduan
mereka dan generasi saya dibelakang hari.
Sekalung budi saya tujukan buat
Dato’ Hj Abdullah Mat Zaid, Mantan Naib Presiden Eksekutif ( EVP) Penerbangan
Malaysia (MAS) - kerana sokongan, pandangan, dan pegangan falsafah hidup yang
amat menyenangkan saya sebagai panduan. Juga untuk Tuan Hj Mat Sah Talip,
Mantan Pengurus Perkhidmatan Dalam Penerbangan Malaysia - kerana banyak memberi
jasa bakti terhadap pembangunan kerjaya saya dalam MAS.
Ingatan juga kepada ratusan
teman-teman dan rakan-rakan lain yang tak dapat saya catitkan kesemuanya
– yang telah banyak membantu segala usaha saya dalam perjuangan membela bangsa
Melayu dan memartabatkan ajaran Islam di kalangan sahabat sekerjaya
khususnya dan masyarakat amnya sepanjang
karier saya dalam syarikat penerbangan negara MAS.
Untuk adik angkat saya Salawati
Mohamed bagi pihak ayahnya, arwah Haji Mohamed Che Su sebagai abang angkat yang
ikut serta memeriahkan warna kehidupan saya. Juga buat keluarga angkat saya, terutamanya Hajjah
Azizah @ Cik, dan Hajjah Faridah @ Dah serta Mohd Hatta – kerana sempat memberi
kasih sayang walaupun hanya untuk seketika.
Lebih utama buat ibu dan ayah
saya, Wan Mek Wan Ali dan Wan Ahmad Wan Dollah kerana tanpa mereka saya tidak
akan wujud di alam maya ini. Jasa mereka tentunya tidak terbalas oleh saya
walaupun dengan tongkolan emas sebesar Bukit Uhud, semoga mereka terbaris
dikalangan orang-orang mutaqqin…Aameen Ya Rabbal Aalameen.
Selamat membaca, dan salam
hormat dari saya;
No comments:
Post a Comment