Siapa lagi yang
dapat merindu dan membanggakan kampung halamannya selain dari dia yang pernah
mendudukinya sendiri? Seperti memuji
memuja tempat di mana terkumpulnya segala nostalgia antara suka dan duka kehidupan.
Ya Allah, aku bersyukur di atas segala kurniaan-Mu,
tempat kelahiranku yang indah dan mendamaikan. Walau kemanapun aku pergi dan di
mana saja keberadaanku, jiwa yang kelam akan segera jernih kembali tenang bila
terkenang kampung halaman.
Kampung halaman
adalah bingkai kenangan dan harapan yang tidak pernah usang dan mati kerana
berlalunya masa. Terlalu kuat ingatan ku mengimbau gambaran beranika warna rangkaian perjalanan hidup. Betapa jauh
sekalipun seseorang itu merantau, dan setinggi manapun dia terbang di sudut
hati terpasak teguh bahawa dia pasti akan kembali ke tanah asal kelahirannya, bagai
kata pepatah lama, ‘sejauh manapun bangau terbang , ke belakang kerbau juga
akhirnya’.
Kampung Kelong
adalah kawasan tercorot terletak dalam daerah Tumpat Kelantan, dekat dengan
permukaan Laut Cina Selatan yang sentiasa terdedah kepada gelora banjir musim
tengkujuh setiap hujung tahun. Disinilah kampung tempat aku dilahirkan 61 tahun yang lalu.
Pada tahun 60an,
Kampung Kelong mempunyai penduduk
sekitar 300 orang sahaja. Suasananya indah yang mendamaikan. Di kiri
jalan laluan ke bandar Tumpat terbentang
sawah bendang dipagari pohon-pohon kelapa dan jenis kelapa laut yang sentiasa bergoyang bagai melambai-lambai ditiup
angin menjadikannya terlalu segar dan
nyaman dirasa. Burung-burung tempua galak bersuara riang keluar masuk ke
sarang-sarangnya yang bergentayangan di dahan-dahan pohon kelapa laut sedari
awal pagi sebuk membawa makanan untuk anak-anak.
Rumah-rumah orang kampung bertiang tinggi tidak berpagar, manakala tingkap-tingkap dibiar terbuka dan pinta tidak berkunci supaya udara dan angin boleh masuk dengan bebas, beredar-edar di dalam dan di luar rumah. Di bawah rumah ada yang dilapangkan sebagai tempat teduhan basikal dan perahu kolek, dan ada yang dijadikan ruang untuk anak-anak kecil bermain ‘decok’ serta tempat letakan ‘gere’ (tempat baringan diperbuat daripada buluh) untuk para suami berihat. Sesetengahnya dikepung menjadi reban ayam, itik dan angsa serta ‘gok’ (tempat tidor kambing) atau kandang lembu kerbau… aduhai bau najisnya tidak tertahan. Di tepi rumah pula ada ‘paloh’, rumah kecil tempat simpanan padi yang diberkas sebelum dileraikan kulitnya menjadi beras.
Pengkalan-pengkalan
sungai dipenuhi sampan kolek kecil yang
digunakan oleh penduduk untuk menangkap ikan, ketam dan udang keluar mudik
untuk menjual hasilnya ke bandar Tumpat. Sungai sejuk mata memandang dikelilingi pohon-pohon nipah. Sekeliling tepi
pokok-pokok nipah pula terpacak
batang-batang ‘bito’ (perangkap ketam) dan ‘gogoh’ (perangkap udang) dipasang
oleh penduduk kampung. Di tengah-tengah sungai pula dihadangkan pukat untuk memerangkap
ikan. Tidak ketinggalan para isteri serta anak-anak perempuan sedang mengail ikan kekek.
Manakala lelaki dewasa bergerak ke hulu ke hilir menjala ikan dan udang.
Kiambang segar kehijauan
berpaut rapat antara satu dengan lain mengharmonikan lagi suasana. Sekali sekala berpecah dua ditempuhi sampan yang
keluar dari pengkalan ke kuala sungai dan bertaut kembali setelah sampan berlalu.
Lumut-lumut pula membiak tebal tempat membiaknya udang baring (sejenis udang
halus) untuk dijadikan belacan. Di waktu
pagi akan terlihat kaum lelaki bermundar mandir mengautnya dengan ‘penyodok
berpukat’. Udang baring ini bukanlah besar sangat nilainya sekadar 20 sen
secupak sahaja…tetapi cukup untuk membeli keperluan harian yang lain.
Hasil tangkapan
ikan, ketam dan udang sungai serta menanam padi semusim (setahun sekali) adalah
sumber utama kehidupan penduduk kampung ku. Selepas musim menuai, para isteri ada
yang menjadi peraih ikan menjual hasil tangkapan para suami di sekitar
kedai-kedai pagi (pasar-pasar) sekitar pekan dan stesen keretapi bandar Tumpat
. Selainnya melekat di rumah menganyam tikar mengkuang dan menjahit daun nipah
untuk dijadikan atap rumah. Hasil dan kehidupannya boleh dikatakan kais pagi
makan pagi, kais petang makan petang.
Penduduknya hidup saling membahu bagaikan aur dengan tebing, bersatu tenaga dalam semua hal. Apa jua pekerjaan yang ingin dilakukan mereka akan sama-sama berganding bahu melaksanakan. Tidak pernah merungut dan tidak pernah ketinggalan untuk ikut serta. Masing-masing tahu akan peranannya tanpa perlu mengikut perintah. Kalau tidak ikut serta mereka akan merasa bersalah dan terkilan. Umum sahaja di ‘balai sah’ (surau) atau setelah menerima undangan, di awal pagi mereka sudah sampai, siap dengan kelengkapannya. Kalau ada yang kurang akan ada yang sudi menambahkan tanpa meminta sebarang bayaran. Segala-galanya dilakukan demi semangat kampung dan persaudaraan.
Bila
tiba musim menanam padi,mereka bergabung dan bermuafakat dalam segala hal.
Bermula dengan menebas lalang, menyangkul tanah, menabur benih, menyabut semaian dan bercedong dibuat
secara bersama. Kalau hari ini menyudahkan bendang Pak Mail, esoknya mereka bergotong
royong menyiapkan kerja Pak Bakar
pula…dan begitulah seterusnya kehidupan mereka saling bantu membantu antara
satu sama lain sehingga sampai ke musim menuai.
Begitu juga apabila ada majlis perkawinan, mereka akan berkerjasama menyiapkan apa jua pekerjaaan dari mula majlis sampailah ke akhirnya. Semuanya dilakukan secara bersama. Orang lelaki dengan tugasnya menaikkan bangsal atau kemah tetamu, manakala wanita pula sebuk di dapur masak memasak. Tidak pernah mengeluh kepenatan dan tidak meminta sebarang habuan sebagai balasan. Kebiasaannya tuan rumah sudah tahu apa yang perlu dia lakukan sebagai mengenang jasa orang kampung yang menjayakan majlisnya.
Pada majlis doa selamat dan kenduri kesyukuran atau tahlil, umum saja di tempat awam orang-orang kampung berduyun-duyun datang menjayakan majlis itu. Boleh dikatakan tiada apa aktiviti-aktiviti kampung yang tidak didatangi oleh penduduknya. Pasti mereka ada di majlis itu. Itulah semangat kampung ku yang begitu mendalam tersemai di sanubari setiap penduduk bagai sudah mengerti apa yang patut mereka lakukan apabila diberitahu.
Sementara
menunggu musim menuai atau mengetam tiba, kaum lelaki menjadi ‘awak-awak
berketuakan seorang ‘juragan’ menangkap ikan di sungai menggunakan pukat.
Sebelah paginya mereka akan turun ke sungai untuk melabuh pukat, dan pada tengah
malam mereka semua akan turun semula ke sungai untuk mengutip ikan-ikan yang melekat
di pukat. Menjelang subuh kesemua hasil tangkapan sudah dibawa ke darat untuk diambil para peraih ikan dan menjualnya
di pasar-pasar berdekatan. Antara ikan-ikan masyhur berjaya ditangkap seperti jenis kitan, haruan, toman, siakap,
sembilang, lapan, telapiar dan lain-lain.
Pada musim mengerjakan
sawah bendang, selepas sekolah atau pada
hari cuti, budak-budak lelaki akan turun ke bendang mencari ikan belaga jenis
ikan semilai. Hasilnya ada yang dijual kepada towkay di bandar dan selebihnya untuk dipelihara dan berlaga
sesama sendiri. Lepas itu cari
lumut-lumut di sungai untuk dibubuh ke dalam botol ikan semilai tu.
Kalau tiada ikan semilai, ikan kapi atau ‘karen’ ada di longkang atau parit
sekitar kampung. Ikan kapi lebih cantik, terutamanya yang jantan. Bila sudah
penat cari ikan belaga, dicari pula biji getah di ladang-ladang getah di
Kampung Berangan dan Kampung Parit yang terkenal dengan jenis ‘katak puru’,
juga untuk dilagakan sesama kawan sekampung, atau dijual kepada rakan-rakan di sekolah.
Pada musim menuai, kaum
lelaki membuat wau yang berbagai jenis;
ada wau tempayan, wau kekek, wau ikan, wau kucing dan yang paling masyhur ialah
wau bulan dengan bunyi daun bisonya yang kuat menghiburkan tuan-tuannya.
Manakala kaum isteri pula sebuk mengemas tangkai padi yang sudah diketam untuk
disimpan di dalam ‘paloh’. Ini adalah musim yang amat menyeronokkan. Kanak-kanak riuh rendah bertempik sorak bergembira
menerbangkan wau masing-masing yang berbagai jenis di
tengah-tengah bendang yang panas terik dan berangin.
Pada malam
istimewa, juragan atau ketua kampung akan menganjurkan pesta dikir barat menjadikan
suasana bertambah meriah bermula selepas isyak hingga menjelang subuh. Yusof
Kelong adalah juara tersohor di Kelantan disamping Daud Bukit Abal, Salleh
Jambu dan Arifin Ana, dengan tukang karutnya seperti Seman Wau Bulan, Husin
Gelang Emas, Pak Kumat, dan Mat Yeh serta Sudin Thailand. Persembahan MakYong, Menora, Puteri, Wayang
Kulit, dan Bersilat Makan Pulut waktu kenduri kahwin adalah media hiburan
tradisional yang digemari ramai. Eh
Chong dengan Menoranya, disamping Awang
Lah, Karim, Hamzah, Umar dan Hassan Tok
Dalang Wayang Kulit.
Di kampung ku banyak benda yang
percuma. Di belakang, di depan atau sebelah rumah macam-macam yang percuma; kelapa
dan santan percuma, air kelapa muda percuma, pucuk ketereh atau janggus untuk
dijadikan ulam makan dengan budu serta nasi percuma, dan bunga kantan juga
percuma. Kekadang kalau kita kehendakkan sesuatu, minta saja dengan jiran, dibayar
harga ditolaknya. Itulah antara nilai kejiranan di kampungku. Kepada yang rajin
menyelusuri sungai, tidak payah ke pasar kerana di situ banyak pucuk-pucuk paku, pucuk piar dan puncuk niding untuk dipetik
dan masak sayur air. Pucuk ubi dan serai berlambak di belakang
rumah tiada apa yang perlu dibeli dan segala macam sayuran percuma ada di
sekeliling kampung.
Main guli itu kewajipan untuk
budak-budak lelaki, disamping main congkak untuk budak perempuan. Tidak payah
beli papan congkak memadai korek lubang dalam tanah dan buah getah atau biji
asam jawa, atau batu jalan raya sebagai buah congkak. Banyak lagi jenis-jenis
permainan yang mengembirakan antaranya; main gasing, main buah janggus,
lemparan kotak-kotak rokok; Materhorn, Signal, Spade, Horse Rider dan
sebagainya.
Aduhai…
hari ini, kampungku telah banyak berubah seiring perkembangan zaman dan
berlalunya waktu. Udaranya sudah tidak senyaman
dahulu. Air sungai tempat aku dan kawan-kawan mencari ikan dan berenang sehabis
sekolah mulai mengering, dan tidak sejernih dulu lagi. Rumah-rumah sudah perlu
dikunci rapat, kalau tidak akan dimasuki penagih dadah. Malah ada yang tidak
kenal lagi anak siapa walaupun duduk sekampung. Jawatankuasa madarasah pun berpecah kerana
fahaman politik yang berbeza. Anak-anak
muda pula ramai berhijrah dan menetap di bandar untuk berkerja di kilang.
Ya…
walaupun pemandangan alamnya sudah tidak seindah dulu, air sungainya tak
sejernih dulu, udaranya tak sesejuk dulu, semangat gotong royongnya tak sekuat
dulu, kampungku selalu aku rindu. Masih ada kedamaian dan ketenangan, masih ada
orang-orangnya seramah dulu, masih kelihatan
kabut pagi, riuh bersuara burung-burung tempua, nyanyian katak yang dapat
mengingatkan kembali akan kenangan indah masa silam. Pulang ke desa
kelahiranku, sesekali terasa ingin berlari tanpa alas kaki di atas batas atau
di sepanjang permatang sawah. Tersenyum pada awan biru yang terhias dengan kepakan
sayap merpati, nuri dan sejenisnya.
Hakikatnya, kembali
ke kampung halaman suatu detik yang indah, mengimbau berbagai memori di kala
bersama leluhurku yang sudah jauh meninggalkan dunia yang fana ini. Ya...
rindunya aku pada Mak Som yang sentiasa membawa pulang berbagai jenis makanan
untuk anak cucu, Pak Cik Dollah yang turun naik sampan ke sungai, Tok Wan
Dollah dengan kerja tukang rumahnya, Pok Mat Kuba dengan suara nyaringnya
merepek di tepi jalan, Pok Jik Tok Bageh sebagai penaik semangat orang-orang kampung
yang sakit serta Pok Soh Buta sebagai tok mindoknya, dan ramai lagi yang
termasuk dalam rangkaian keluarga terdekat,
semuanya sentiasa dekat dan terpahat di hatiku...
Terpahat dalam
memori, rakan-rakan sepermainan, sama-sama berlari meniti permatang sawah,
menangkap belalang kala musim menuai sudah berakhir, bermain bola di padang
pasir Pak Su Mat, berkejaran berlumba upih yang ditarik oleh bapa saudaraku Pak
Su Din, dan mengikuti Pak Cik Mat
menyusuri sungai menjala ikan atau menangguk udang. Teringat akan sepat
dan puyu yang digoreng garing oleh Mak Cik Jah, di makan dengan nasi panas
berasap... tapi kini, hanya tinggal kenangan .... sepat dan puyu sudah kian
pupus, tidak seperti zaman kanak-kanakku dahulu...
Walaupun
kehidupan di kota menjadi saksi perjalanan ranjau hidup ku, kampung halaman
akan tetap ramah untuk menumpahkan segala kerinduan yang indah. Meskipun hanya
sesekali dijengok, tetapi kampung halaman takkan merengek. Kampung halaman
tetap menanti untuk aku kembali. Di sinilah kedamaian menanti, di hati yang berbisik mesra pada hembusan
angin,“ Ya Tuhan betapa indahnya dunia Mu.”
No comments:
Post a Comment